Saturday, 25 February 2012

ISU GAS RUMAH HIJAU & HUTAN PAYA GAMBUT

Kajian terbaru di Jepun mendapati peningkatan suhu yang sedang berlaku pada masa ini akan menyebabkan tanah-tanah bencah (wetland) mengering. Kesan buruk paling ketara daripada pengeringan itu dapat dilihat dengan jelas pada tanah jenis paya gambut. Pengeringan ini menyebabkan lebih banyak karbon dari paya gambut terbebas ke udara dan membentuk karbon dioksida yang seterusnya memburukkan lagi masalah pemanasan global.
Menggunakan kaedah permodelan komputer, saintis terlibat mengkaji tanah-tanah paya gambut pada latitud tinggi di lokasi-lokasi termasuk di Kanada, Rusia serta Alaska, dan mereka mendapati tanah-tanah paya itu menjadi semakin kering dengan meningkatnya suhu secara global. Hasil laporan dari Agensi Sains dan Teknologi Laut-Bumi Jepun itu diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience edisi Oktober. Memetik dari laporan itu, peningkatan suhu sebanyak empat darjah celsius sahaja sudah mampu menyebabkan kehilangan 40 peratus karbon dari paya gambut cetek malah lebih teruk lagi tanah paya yang lebih dalam boleh kehilangan karbon sehingga 86 peratus.

Tanah Gambut Mengering
Proses pengeringan tanah paya ini akan menyebabkan karbon terbebas dari tanah dan seterusnya menyebabkan jumlah karbon dioksida di udara meningkat. Menurut salah seorang pakar terlibat, Takeshi Ise, keadaan ini akan memburukkan masalah pemanasan global masa kini. Secara ringkas, apa yang berlaku adalah umpama kitaran mekanisma tindak balas positif yang mana suhu meningkat menyebabkan tanah gambut mengering dan seterusnya membebaskan karbon.
Semakin banyak karbon terbebas, makin bertambah pembentukan gas karbon dioksida dan menyebabkan tindak balas fenomena rumah hijau berlaku lebih giat dan menyebabkan suhu bumi semakin panas. Pemanasan global berlaku akibat meningkatnya gas-gas rumah hijau dalam atmosfera terutama karbon dioksida, selain metana, ozon dan wap air.

Apa yang boleh kita lakukan?
Pertama sekali, juga cara yang cukup jelas ialah kita perlu memahami dan mengatasi faktor-faktor penyebab pemanasan global yang berpunca dari fenomena gas rumah hijau. Peningkatan karbon dioksida yang kini berlaku secara melampau adalah akibat aktiviti manusia terutama yang berkaitan dengan pembakaran bahan api. Isu ini telah banyak dibincangkan.
Kedua, ialah mengenali, melindungi dan mempertahankan hutan-hutan paya gambut. Tanah gambut adalah tanah yang terbentuk hasil pengumpulan sisa tumbuhan yang separuh reput atau sedang mengalami proses pengomposan di kawasan basah.
Jenis tanah ini merangkumi kira-kira dua peratus daripada keseluruhan permukaan tanah dunia dan termasuk di dalam kategori tanah bencah. Secara semula jadi, hutan paya gambut ialah tanah tropika yang sentiasa digenangi air, rendah mineral, dengan kedalaman di antara satu hingga 20 meter dan biasanya di dapati di lembah-lembah sungai, kawasan delta dan muara. Memandangkan tanah jenis gambut mempunyai kemampuan penyerapan air bagai kan span, hutan ini bertindak sebagai penakung dan pembekal air.
Proses penguraian yang berlaku dalam paya adalah dalam keadaan kurang oksigen atau anaerobik dan berasid. Penguraian akan berlaku dengan terlalu perlahan dan menyebabkan sisa tumbuhan melepaskan bahan kimia tannin yang berwarna kehitam-hitaman seperti warna air teh. Kadar penguraian karbon dari pereputan tumbuhan dalam tanah yang digenangi air adalah sangat rendah. Inilah sebabnya paya gambut berperanan sebagai stor penyimpan karbon yang sangat besar.

Tetapi sejauh manakah kita mengenali dan mengiktiraf kepentingan tanah-tanah semula jadi ini?

Sekurang-kurangnya 60 peratus atau 20 juta hektar tanah jenis gambut dunia terletak di Malaysia dan Indonesia. Malaysia memiliki lebih dua juta hektar tanah paya gambut khususnya di Sarawak. Bagaimanapun, hutan paya gambut di Sarawak semakin merosot dengan ketara dari 1.6 juta hektar pada 1974 menjadi kira-kira 1.2 juta hektar kini.
Meskipun persekitaran hutan paya gambut dianggap kasar memandangkan ia keadaan digenangi air, berasid dan kurang mineral, hutan paya gambut mempunyai biodiversiti yang amat tinggi dan unik. Ini termasuk habitat penting pelbagai flora dan fauna termasuk pokok-pokok balak popular tetapi kian terancam seperti ramin (Gonystylus sp.), alan atau meranti merah (Shorea albida), bintangor (Calophyllum ferrugineum), meranti bakau (Shorea uliginosa) dan jelutong (Dyera costulata).Memetik laporan John Howes dalam The Encyclopedia of Malaysia, masalah eksploitasi hutan hutan paya gambut khususnya balak alan di Sarawak berlaku dengan kadar yang terlalu pantas dan memerlukan tindakan pemuliharaan segera bagi mengekalkan kewujudannya.

Eksploitasi jejas keseimbangan
Di Sarawak, hutan paya gambut adalah jenis hutan yang paling awal dibalak dan pembalakan secara mekanikal sebenarnya telah bermula sejak 1947. Malah, kata Howes, hampir semua kawasan hutan jenis paya gambut di Sarawak telah dilesenkan untuk tujuan pembalakan sejak 1979. Perkembangan terkini nasib hutan paya gambut sebenarnya lebih membimbangkan.

Tebus guna pertanian
Selain masalah pembalakan, hutan paya gambut juga terpaksa berdepan dengan isu ditebusguna khususnya untuk tanah pertanian. Kini, semakin banyak hutan di Sarawak telah ditukar menjadi ladang-ladang kelapa sawit. Sebagai hutan yang sering dianggap tanah yang sia-sia apatah lagi terletak di kawasan tanah pamah, hutan paya gambut pastinya menjadi pilihan utama.
Apa yang pasti, perkembangan ini amat membimbangkan kerana ia telah dan sedang mengancam bukan setakat kolam biodiversiti negara malah menjejaskan keseimbangan kitaran air, udara, suhu dan cuaca dunia. Dalam satu seminar baru-baru ini, pakar penyelidik Projek Hutan Paya Gambut Pahang Tenggara, Dr. Khali Aziz Hamzah dari Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjawab persoalan penulis mengenai isu kebakaran hutan paya gambut.
Jelas beliau, hutan paya gambut akan cenderung untuk menjadi kering akibat peresapan air dari tanah tersebut ke kawasan tanah yang ditebus guna untuk tujuan lain terutama yang dijadikan tanah pertanian. Eksploitasi tanah itu, akan menjejaskan sifat semulajadi tanah gambut yang sepatutnya sentiasa bergenang dalam air. Ini menjadikan tumbuhan separa reput yang merupakan ciri utama tanah gambut, tidak lagi berada dalam keadaan basah sebaliknya ia menjadi sisa organik yang berisiko tinggi untuk terbakar kerana berada dalam keadaan kering. Keadaan ini bakal mengundang lebih banyak masalah. Malah tanah gambut adalah merupakan kawasan hutan yang cukup mudah terbakar secara besar-besaran.

Jadi berbalik semula kepada soalan apakah tindakan kita? Bagaimana kita dapat menangani isu-isu sebegini?
Kesedaran umum dan pelbagai kempen penghijauan memang penting, pendidikan alam semulajadi di sekolah dan peringkat tertier juga penting, begitu juga pelbagai penyelidikan oleh pakar akademik. Tetapi hanya kesedaran dan anjakan paradigma melibatkan pihak-pihak tertentu di peringkat atasan yang dinamakan pemimpin, pembuat polisi, pelobi-pelobi projek dan sebagainya yang dapat menghasilkan perubahan secara signifikan.
Awas! Pembakaran Terbuka
Pembakaran terbuka adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya pencemaran udara di negara ini. Pembakaran terbuka kebanyakannya dikesan berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan, sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan simpan. Keadaan pencemaran menjadi lebih serius pada musim panas yang berpanjangan kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan mengurangkan jarak penglihatan.
Masalah jerebu yang melanda negara pada 1997 menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi `asap'. Keadaan jerebu yang berlaku ketika itu amatlah membimbangkan sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) meningkat sehingga ke paras yang sangat bahaya.
IPU adalah satu sistem ukuran yang dibangunkan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai tahap kualiti udara dan impaknya terhadap kesihatan dengan cara yang termudah. IPU mengukur kepekatan bahan pencemar yang terampai dan dalam suatu nombor pada skala antara 0 hingga 500. Justeru, bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka, sejak 1998 Jabatan Alam Sekitar (JAS) melancarkan Operasi Mencegah Kebakaran Terbuka (Ops Bakar) di seluruh negara. Operasi berkenaan adalah program bersepadu membabitkan aspek pengesanan, penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan, memadam, aktiviti kesedaran serta pendidikan.
Selain itu, langkah penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dengan membabitkan pelbagai agensi kerajaan memantau masalah itu juga perlu. Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilaksanakan hanya dengan arahan. Ia sepatutnya disertai dengan penguatkuasaan undang-undang. Pembakaran terbuka akan terus berlaku selagi belum ada bukti setiap mereka yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman setimpal. Jika kes pembakaran terbuka dilakukan oleh individu atau syarikat, mereka perlu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sememangnya hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah adalah berat iaitu denda maksimum RM500 000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta kompaun maksimum RM2 000. Di peringkat Asean, Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahaya Kebakaran Hutan dan Tanah 2002 pada Jun lalu mencapai kata sepakat mengadakan kerjasama melalui perjanjian bagi menangani masalah pembakaran hutan dan tanah yang pernah menyebabkan jerebu paling teruk di rantau Asean. Komitmen daripada negara-negara anggota dilihat sebagai usaha positif ke arah menangani dan memerangi masalah kebakaran terbuka dan jerebu. Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara-negara anggota menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau.

Perjanjian ini antara lain mengkehendaki negara-negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar-tukar maklumat dan teknologi serta menyediakan bantuan bersama. Perjanjian itu lebih kepada usaha sama negara-negara anggota dan bukan bertujuan menghukum negara anggota yang melanggar perjanjian berkenaan. Malah ia lebih tertumpu kepada bentuk kerjasama yang jelas menyatakan negara anggota perlu memberi bantuan kepada rakan lain.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Jerebu Serantau yang diterima pakai oleh Asean selepas masalah jerebu yang teruk pada 1997 dan 1998 sehingga menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM34.2 bilion (AS$9 bilion) termasuk menjejaskan pengeluaran pertanian dan sektor pelancongan. Kesungguhan negara dalam menangani masalah kebakaran hutan dan tanah serta jerebu terbukti dengan pelbagai usaha pada peringkat kebangsaan melalui mekanisme mencegah punca kebakaran dan jerebu melalui rondaan udara dengan bantuan setelit. Tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang masih degil melakukan pembakaran terbuka diambil tanpa kompromi dengan bantuan agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Keselamatan Negara, Rela, Kementerian Kesihatan dan polis.

No comments:

Post a Comment